Thursday, December 19, 2013

SEKTOR OEX 858
(NURUL FARAH HAZIRAH BINTI ROSIDIN)

Sekali lagi aku duduk di sini. Bahagian belakang badanku disandarkan pada konkrit kasar di dalam bilik yang kecil lagi gelap ini. Kelembapan yang aku rasakan sekarang ini mengingatkan aku kepada saat aku bermain di lopak air selepas berlakunya ribut. Apa yang membezakan detik dan saat yang aku lalui pada zaman dahulu dan sekarang hanyalah.. umur. Sekarang aku sudah berusia setengah abad namun malangnya sepasang kasut pun tidak aku miliki. Peluh sejuk yang mengalir di seluruh anggota badanku bergerak seiring dengan hati aku yang lemah, lemah untuk menempuh satu lagi malam yang penuh dengan kedinginan. Aku boleh dengar dengan jelas rintihan kesakitan yang dierang oleh lelaki-lelaki berusia pertengahan umur yang ditempatkan di bilik-bilik lain. Bilik yang sama, serupa dengan bilik yang aku inap pada waktu dan saat ini. Aku masih lagi tidak berupaya untuk menjaga baik makan mahupun minum sejak beberapa hari yang lalu, dan aku rasa anggota badanku sendiri sudah mengangkat bendera putih menandakan mereka juga sudah berputus asa dengan kitaran hidup yang dilalui. Tempat ini berbau seperti bilik mandi sekolah yang tidak dibasuh selama seminggu namun aku telah lali dengan bau busuk yang menyengat ke dalam lubang hidung ini. Tidak jua aku endahkan. Apa yang aku perlu di saat-saat genting  ini hanyalah seorang teman sebilik. Seorang yang boleh mendengar keluhan kesah aku dan boleh dipercayai untuk didedahkan rahsia aku kepadanya. Seorang yang boleh mendengar cerita ataupun seorang yang boleh bercerita. Raungan derita semakin kuat didengari. Aku cuba untuk memaksa jasad aku untuk terus baring di atas katil namun aku tidak mahu mati di atas sesuatu yang bukan kepunyaan aku. Di tempat ini bukanlah sebuah penjara kehidupan yang dilestarikan sebagaimana di dalam kaca televisyen mahupun di dalam sebuah buku. Di tempat inilah penjara sebenar kehidupan di dalam Sektor OEX 858.

Semuanya bermula pada tahun 2024 apabila pihak yang bertanggungjawab mula memaklumkan bahawa semua orang akan menikmati kehidupan yang lebih bahagia jikalau kami semua bersetuju untuk menerima sedikit perubahan dalam kalangan masyarakat. Nasi sudah menjadi bubur, sepatutnya dari peringkat permulaan lagi kami boleh hidu bahawa tiada kelebihan yang diperoleh apabila manusia cuba untuk mengubah keadaan yang hakikatnya sudah sempurna. Kami akur akan arahan mereka, kami tetap percayakan mereka, kami menyangka bahawa orang di balik tirai tahu apa yang terbaik untuk kami. Mereka memberitahu kami bahawa pengorbanan kami hanyalah dengan perpecahan persahabatan dan pengorbanan inilah yang akan mendekatkan serta merapatkan lagi ukhuwah antara sahabat. Rancangan besar mereka secara ringkasnya adalah untuk mengklasifikasikan orang-orang seperti fail dalam komputer. Kami diatur mengikut pekerjaan dan seterusnya disusun menjadi birokrasi status sosial. Rakyat tidak pernah berubah, satu-satunya perubahan yang dialami ialah perasaan yang benar-benar kesepian. Perasaan itulah yang memberi peluang kedua kepada kami untuk sedar dan bangkit. Dalam masa dua tahun, semua orang telah berpindah ke bandar serta sektor yang telah ditetapkan. Terdapat sektor bisnes, sektor perkilangan, sektor kesenian, sektor untuk orang yang bekerja atau sekurang-kurangnya suatu tempat yang boleh memuatkan apa-apa pekerjaan.

Sektor yang terteruk dalam kalangan ketiga-tiga sektor ini ialah Sektor CYL 213; sektor ini adalah tempat pengumpulan bagi orang yang tidak bekerja dan tidak mampu bekerja. Aku tidak pernah menjejakkan kaki ke sana, hanya khabar angin yang singgah ke telingaku. Tiada sesiapa yang pernah keluar daripada sektor mereka, terdapat beberapa komitmen yang diperlukan dalam pembentukan masyarakat baru. Satu-satunya cara untuk menyebarkan maklumat dalam kalangan sektor adalah dengan melalui internet, tetapi internet tersebut bertukar menjadi sebuah makhluk yang tahap jujurnya setaraf dengan manusia yang telah mengubah kehidupan kami. Sektor CYL 213 terdiri daripada orang yang mengedar dadah diikuti  orang yang cacat mentalnya. Jenis-jenis orang yang berubah secara drastik, dan perkara ini membawa kepada huru-hara. Pada mulanya, cerita-cerita yang disebarkan melalui internet adalah sumber yang boleh dipercayai. Gambaran mereka seolah-olah sebuah realistik untuk penduduk yang tinggal di Sektor CYL 213. Setiap individu mengetahui jenis-jenis manusia yang tinggal di sini melalui buku panduan yang diberikan kepada ahli masyarakat baru, yang menyenaraikan semua 914 sektor dan jenis kumpulan yang ditetapkan bersama mereka. Sektor CYL 213 terdiri daripada “individu bukan penyumbang”. Butiran Sektor CYL 213 tidak begitu penting untuk skim besar daripada apa yang akhirnya menjadi negara ini, pada tahun 2031, masa kini.

            Saat-saat indah yang dikecapi hanyalah sementara, manusia mula berasa terikat dan kehidupan bersektor semakin diketengahkan dengan apa yang mereka lakukan dengan kehidupan seharian mereka, kelihatan semakin merimaskan. Masalah mula bermula dengan kanak-kanak. Kanak-kanak tidak dilahirkan untuk terus melangkah ke alam pekerjaan sebagaimana yang diharapkan oleh mereka untuk menjalani kehidupan seperti komputer. Malangnya kami bukan. Tetapi mereka telah jumpa jalan penyelesaiannya. Mereka janjikan kebahagiaan serta kesejahteraan anak-anak kami. Ini peluang ketiga yang juga merupakan peluang terakhir bagi kami untuk melihat di mana pengakhiran semua ini, namun kami terlepas pandang. Mereka menempatkan anak-anak kami ke Sektor BKN 864, “persekolahan dan pembangunan”. Kehidupan kami semakin dibelenggu dengan pekerjaan, masa untuk diluangkan bersama keluarga menjadi semakin kurang dan kurang. Manusia mula lupa tentang kehidupan mempunyai keluarga.

            Berita tentang kesakitan dan keadaan yang huru-hara berhenti disebarkan di internet, sebaliknya digantikan dengan berita kejayaan dan kebahagiaan di sektor-sektor lain. Aku sangka sektor aku merupakan sektor yang istimewa, aku sangka mungkin kesedihan ini merupakan kebahagiaan buat aku dan adik-beradikku, itulah yang dipanggil satu sama lain di dalam sektor aku. Kami tulis dengan manual, menyusun barang dengan  manual, cukup banyak yang dilakukan secara manual. Pada masa itu aku sangka mungkin ahli sektor aku bersedih kerana tiada kemajuan yang berlaku sepanjang kami bekerja di sini, tiada pembaharuan; hanya perkara yang sama. Secara jujur, aku tidak pernah kisah kerana ia merupakan kerja yang mudah dan santai. Aku mempunyai beberapa orang rakan sekerja yang rapat dengan aku. Tetapi malam itu, merupakan malam yang mengubah segala perspektif serta tanggapan aku.

Kami menikmati snek malam sambil duduk di ruang tamu Sitrakos, rakan sekerjaku. Kami bergelak ketawa dan menjadikan segala kerja manual yang kami lakukan selama ini sebagai bahan lawak, malam itu merupakan malam yang menyeronokkan. Sebelum semuanya berubah, Photas  salah seorang rakan sekerjaku, bercerita tentang sebuah buku yang akan ditulis oleh orang ramai dan akan membantu orang lain memahami apa yang kita lakukan untuk terus hidup; pasti ramai yang akan tulis tentang impian dalam memilih pekerjaan serta apa yang perlu dilakukan selepas itu. Namun selepas apa yang terjadi, kami tidak lagi perlukan semua itu, tetapi Photas membawa kembali nostalgia yang menerkam roh kami. Aku merasakan jasad aku tenggelam ke dalam sofa yang aku duduki. Otakku kini ligat memainkan memori-memori aku dan keluargaku. Aku mempunyai seorang abang dan dua orang kakak, mereka merupakan kembar seiras. Nasib menyebelahi mereka, mereka ditempatkan di sektor yang sama kerana mereka atlet yang luar biasa. Aku merasakan haba menenggelamkan dadaku membuatkan aku serta merta merindukan kehidupan aku sebelum perubahan ini berlaku. Aku tidak pernah sedar akan perubahan yang melanda diri aku pada masa itu; iaitu sikap kurangnya rasa ingin tahu. Tiada pembaharuan, tiada apa untuk dipersoalkan kerana tiada sesiapa di samping aku. Semua orang di sektor ialah orang yang hampir mengklonkan diri mereka sesama sendiri. Aku mula berasa kesepian. Kesepian yang lebih daripada yang pernah aku rasa sebelum ini.

Hari hari selepas malam yang teruk itu aku rasakan sama sahaja seperti mengulangi hari-hari aku yang lalu, namun setiap hari menjadi semakin teruk tetapi dengan cara yang berbeza. Rambutku semakin panjang, keluhanku semakin panjang dan badanku semakin lemah kerana aku sudah mulai untuk putus harapan dalam kehidupan yang sudah tidak bermaksud apa-apa. Aku mahu perkara itu, aku mahu lebih daripada tidak menjadi klon dalam kalangan penduduk sektor di mana semua orang adalah sama yang menjadi salah satu gear berusaha bersama-sama menolak negara ini untuk terus membangun. Sekarang sudah tiba masanya aku membuat keputusan untuk berubah.

            Aku mula memikirkan cara untuk melarikan diri daripada sektor aku. Aku menyemak buku panduan dan berjaya mendapatkan sektor yang hendak dituju: Sektor KGS 213, “artis”, Sektor CHN 457 “saintis”, Sektor LHN 110 “ahli psikologi”, dan Sektor JGN 54 “pakar senjata”. Lokasi terakhir aku ialah di Sektor BYG 1. Sektor BYG 1 merupakan sektor penempatan pemimpin; tiada siapa yang tahu apa-apa tentang keadaan di sana. Aku tak tahu bagaimana untuk aku melepaskan diri dari sektor aku, ia memerlukan rancangan yang terperinci serta permerhatian dan pengukuran terhadap dinding yang terhad dalam sektor aku. Aku berkira-kira untuk menuju ke arah timur terlebih dahulu, mencari mana-mana sektor untuk dilihat samada aku boleh mencari corak atau organisasi sektor.

            Berakhirnya tahun 2030. Aku berjaya menjumpai sebuah lubang di dinding yang membolehkan aku merangkak masuk. Di sebelah luar lubang ini terdapat sinaran cahaya matahari yang tidak pernah aku lihat. Kebebasan, tanah yang terbentang luas di hadapan mataku. Aku terhidu bau pokok, tumbuh-tumbuhan, dan alam semulajadi. Baunya sama seperti taman yang selalu aku pergi sewaktu aku masih berusia kanak-kanak dahulu. Aku boleh rasakan senyuman yang perlahan-lahan terukir di bibirku, seiring dengan permata jernih yang mengalir ke pipi cengkungku. Aku melangkah keluar dari kepompong kehidupan aku yang diprogram. Aku terlupa akan keadaan cuaca sebenar, aku mulai rasa angin yang dingin menggigit tubuhku, mulai memanjat kakiku. Aku mengambil beberapa langkah tetapi rasanya seperti berjam-jam lamanya, aku dihujani perasaan gembira yang tidak dapat diungkapkan dan perasaan baru yang menyerbu diriku iaitu kebebasan. Aku berada dalam kira-kira dua puluh kaki dari dinding sewaktu kedengaran bunyi bising yang sangat kuat lagi nyaring menusuk ke tengkorakku. Penggera.


            Terdapat sebuah penggera terkeluar dari sektor aku. Saat itu masa bergerak lebih perlahan hanya kerana aku berpusing ke belakang untuk mencari arah datangnya bunyi itu. Aku boleh merasakan ketegangan yang berlaku di bahagian ototku dan sekaligus bulu roma di bahagian lengan dan kakiku tegak berdiri, membuatkan udara yang memang hakikatnya sudah sejuk semakin mengganas menggigit tubuhku. Kelihatan sebuah menara tinggi yang entah bagaimana aku boleh terlepas pandang akan menara ini, dan terdapat beberapa lelaki berbadan sasa sedang memandang tepat ke arahku. Tenungannya seolah boleh tembus sehingga 100 meter jauhnya. Melalui pandangan matanya, mereka kelihatan seperti beberapa ekor harimau yang baru sahaja melihat seekor rusa melintas di hadapan mereka. Wajah mereka terbakar ke dalam otak aku dan saat mereka mengangkat senjata dan mengacu tepat ke arahku, saat itu juga jasadku kaku. Tiada apa yang mampu aku lakukan, aku hanya menunggu apa sahaja yang akan tertusuk ke dalam kulitku. Aku tidak sedarkan diri selepas itu dan tidak tahu apa yang terjadi kepadaku. Apa yang pasti, pabila aku terjaga, aku berada di sebuah sel yang gelap. Ya, bilik baru aku.

            Di sinilah aku berada sekarang. Hidup aku akan bertahan mungkin dalam setahun dua lagi. Setelah apa yang terjadi, selepas apa yang ingin aku ubah, hasilnya cuma aku tenggelam di dalam peluh aku sendiri, mati seorang diri secara perlahan di dalam Sektor OEX 858. Aku tidak mengenali seorang pun manusia yang berada di dalam penjara ini. Apa yang pasti ialah aku mungkin pernah atau tidak berada di bawah naungan mereka. Aku tidak pernah belajar apa-apa tentang sektor-sektor yang lain. Aku sendiri tak pasti bahawa wujudnya sektor-sektor lain. Aku rasa kau takkan pernah pasti tentang perkara yang bukan kau alami. Aku hanya sedar kebenaran yang pernah aku tahu ialah apa yang aku rasa. Aku berharap aku sedar apa yang berlaku dari awal, aku berharap aku percayakan diri aku sendiri berbanding percayakan manusia yang mengubah sesuatu yang sudah hakikatnya semulajadi. Aku tak pernah menyesal atas apa yang aku buat, aku cuma menyesal atas apa yang tidak dapat aku laksanakan pada masa lampau. 

اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ ,شكر

Tuesday, November 26, 2013

Manusia Destruktif

Kepercayaan aku terhadap manusia telah goyah,
Dirampas, dipintal ditala ke bawah,

Kepercayaan aku terhadap manusia teruk putusnya,

Dijangkiti, dicemari, dipengaruhi,
Dengan kebencian, kejahatan, racun yang merebak,

Makhluk-makhluk di bumi,

Tidak berperikemanusiaan,

Mereka adalah sebahagian daripada zarah debu,

Yang merosakkan bumi bersih ini,

Tuah di mana sahaja mereka pergi,

Kepercayaan aku terhadap Rabb tidak akan pernah goyah,

Kepercayaan aku terhadap manusia akan dihapus bersih,

Aku takkan pernah biarkan tuah menyebelahi debu-debu ini



Nurul Farah Hazirah binti Rosidin
Sekolah Menengah Sains Batu Pahat

اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ ,شكر